Kementerian Pelajaran akan mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara secara berperingkat bermula 15 Januari depan. |
Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian itu memaklumkan, kaedah penyaluran bayaran dibuat ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah atau akaun khas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun bank.
Menurut kenyataan tersebut, mana-mana
sekolah yang menerima kurang peruntukan, perlu membuat permohonan
tambahan peruntukan beserta penyata bank sekolah dan jumlah yang
diperlukan kepada Bahagian Kewangan kementerian secepat mungkin.
Kementerian Pelajaran turut menegaskan bahawa sebarang pemotongan bantuan tersebut sama sekali tidak dibenarkan.
''Tarikh pemulangan lebihan peruntukan
juga ditetapkan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2013 kepada mana-mana
sekolah yang menerima lebihan peruntukkan bantuan tersebut,'' kata
kenyataan itu.
Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak September lalu telah
meluluskan peruntukkan RM540 juta bagi pemberian Bantuan Khas Awal
Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi
persekolahan tahun 2013.
Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
Murid atau pelajar yang layak menerima
bantuan tersebut mesti berstatus warganegara Malaysia, bersekolah
kerajaan dan sekolah bantuan, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau
setaraf dengannya bagi persekolahan tahun 2013.
Pada masa yang sama, kenyataan tersebut
turut meminta setiap Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Daerah
memaklumkan kepada sekolah mengenai pelaksanaan bantuan antaranya
termasuklah melalui surat siaran, garis panduan dan pemantauan bagi
memastikan pelaksanaan pembayaran bantuan mengikut prosedur dan
peraturan kewangan.
Pihak terlibat perlu melaporkan rumusan
agihan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada kementerian
selewat-lewatnya pada 28 Februari depan mengikut format yang ditetapkan.
Selain JPN dan daerah, pihak sekolah
juga tidak terkecuali berperanan dalam perkara itu antaranya termasuklah
memastikan murid yang layak menerima bantuan, menyemak dan merekod
peruntukan yang diterima ke dalam Buku Tunai KWK, dan mengeluarkan resit
rasmi pejabat apabila peruntukan telah sah dimasukkan ke dalam akaun
KWK.
Sekolah juga perlu mengeluarkan wang
bantuan daripada bank dan mengagihkan secara tunai kepada ibu bapa atau
penjaga murid dalam tempoh 14 hari bekerja daripada tarikh bantuan
diterima.
Pihak sekolah juga perlu memastikan ibu
bapa atau penjaga menurunkan tanda tangan ke atas Senarai Akuan
Penerimaan atau Penolakan Bantuan dengan disaksikan dua guru sebagai
saksi.
Sekolah yang telah membuat agihan
bantuan ini kepada murid yang akan berpindah sekolah perlu meletakkan
cop 'telah bayar' bantuan khas RM100 pada borang perpindahan sekolah
murid bagi mengelakkan berlakunya pertindihan agihan bantuan berkenaan
di sekolah baharu nanti.
Bagi memastikan tidak ada murid yang
tercicir daripada menerima bantuan tersebut, sekolah diminta
mendahulukan peruntukkan sedia ada sekolah seperti wang SUWA atau
lain-lain peruntukan sekiranya peruntukkan asal tidak mencukupi.
Pengetua atau guru besar dinasihatkan
memohon secara rasmi perkhidmatan polis pengiring daripada Ketua Polis
di negeri masing-masing dalam urusan pengeluaran wang melebihi jumlah
RM10,000.
Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/373-info-pendidikan/14792-bantuan-awal-persekolahan-2013-diagih.html
Comments
Post a Comment